Isnin, 14 Februari 2011

bunga-bunga cinta

alt
Oh hari bunga-bunga cinta sudah tiba. Pasangan muda-mudi Islam juga tak terlepas mengatur program-program 'bulan madu' bersama kekasih hati. Hari kasih sayang itu dianggap sebagai hari yang harus dilalui dengan mencurahkan sepenuh rasa cinta kepada pasangan. Bukan sahaja pasangan suami isteri, malah yang baru menjalin hubungan cinta sehari juga berimpikan perkara yang sama. 14 Februari tersemat di dalam hati, menjadi kenangan yang abadi.
Tunggu! Sebelum terus-terusan kita menjadikan hari tersebut sebagai hari membuktikan rasa cinta yang deminya 'lautan api sanggup ku redah', ketahuilah sejarahnya dahulu. Apa yang selama ini disambut oleh umat Rasulullah SAW, di mana hujung pangkal permulaannya? Jangan kita menjadi manusia yang tuli, mencontohi dan mengikuti sesuatu tanpa kita mempunyai pengetahuan tentangnya. Allah telah menegaskan, "Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawabnya". (Surah Al-Isra : 36)
Sejarah Valentine's Day
Terdapat pelbagai sumber yang berbeza-beza menceritakan tentang asal-usul Hari Valentine. Yang nyata, tidak satu pun memberi kebaikan kepada kita sebagai umat Islam dan hamba kepada Maha Pencipta. Sedarkah kita, salah satu sebab kewujudan Hari Valentine ini adalah kerana kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol pada tarikh tersebut. Manakala orang yang menjadi dalang kepada kekalahan itu adalah seorang paderi Kristian, Saint Valentine. Lalu, 14 Februari 1492 dinamakan Hari Valentine dan  dianggap sebagai hari kasih sayang kerana Islam dianggap sebagai agama yang zalim. Bukankah dengan menyambutnya, kita sendiri menghina agama kita yang suci? Kejinya jika kita begitu!
Antara sejarah yang lain pula menyebut, Hari Valentine diambil daripada nama paderi Saint Valentine atas kesungguhannya mempertahankan hak para tentera di zaman pemerintahan Claudius II untuk berkahwin. Ini kerana, semasa Claudius II memerintah kerajaan Rom, beliau menghalang tentera-tentera Rom untuk berkahwin kerana pada pendapat beliau, mereka akan lebih kuat dan tabah untuk berperang jika masih bujang. Namun secara senyap, Saint Valentine telah melakukan upacara pernikahan dan ini mendatangkan kemarahan Claudius II. Lalu, paderi itu dihukum gantung pada 14 Februari 269 Masihi.
Fikirkan
Jika kita menjadikan ini sebagai alasan untuk menyambut 14 Februari, dek kerana kesungguhan seseorang menegakkan hak manusia untuk berkahwin, mengapa pula penghormatan itu harus diberi kepada seorang paderi Kristian? Sedangkan di kalangan utusan Allah semuanya banyak berkorban demi cinta mempertahankan agama. Kenangilah rasa cinta dan kasih yang tak terhingga Rasulullah SAW yang banyak berkorban demi kita, umatnya yang amat beliau kasihi. Sungguh, jangan pernah kita meletakkan penghormatan itu lebih tinggi kepada pemimpin dari kaum kafir berbanding pemimpin teragung kita, Muhammad SAW!
Kita sedia maklum, sesuatu perayaan yang tidak berlandaskan agama Islam pasti mendatangkan sejuta keburukan dan kebinasaan. Lihatlah, berapa ramai anak-anak gadis seagama yang telah terkulai layu di tangan kekasih hati hanya demi membuktikan rasa cinta yang berinspirasikan Saint Valentine? Berapa ramai pemuda-pemuda yang menggalas tugas  khalifah di muka bumi melakukan maksiat dan zina demi tarikh yang dianggap keramat itu ? Segeralah kita membendung sambutan Hari Valentine. Jangan biarkan benih kesesatan menumbuh lalu menjadi pohon yang menutupi sinar iman di dalam hati.
Ingatlah firman Allah, "Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahi yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu." (al-Baqarah:120).

Ahad, 13 Februari 2011

bercerita tentang jodoh

alt
Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.
Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.
"Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya," kata seorang abang yang sangat saya hormati.
"Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?"
"Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya," jawabnya pendek.
"Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?" gurau saya.
"Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain..."
Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.
"Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi," jelasnya dengan tenang.
"Habis mengapa putus?"
"Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta."
Wah, ini kisah cinta yang  dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.
Isteri Amanah
"Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?" kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.
"Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta."
"Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?"
"Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa."
"Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?"
"Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya."
Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, "Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga."
Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.
"Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi..."
Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, "Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua."
Cantik Itu Relatif dan Subjektif
"Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er... er... kita masih manusia bukan?" saya menduga hatinya.
Dia ketawa tiba-tiba.
"Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya."
"Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?"
"Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?"
"Bukan yang cantik?" jolok saya lagi.
"Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya," balasnya dengan yakin.
"Maksud abang?"
Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.
"Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual."
Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, "Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami."
"Oh, betul juga tu!" kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, "Sedap di mata tetapi sakit di hati..."
Wasilah Memilih Jodoh
"Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?" ujar saya dengan soalan nakal.
"Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja."
"Maksudnya yang dulu lebih cantik?"
"Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?"
Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.
"Apa kaitannya dengan hati?" layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.
"Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!"
'Ah, tentu dia bahagia kini!' bisik hati saya sendiri.
"Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?"
"Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita."
Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik
"Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik."
"Tak mengapa. Kalau begitu, cuna cara pertama, jadilah orang yang baik."
"Itu susah bang. Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum."
Abang tersenyum lantas berkata, "Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?"
Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.
"Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!"
Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.
"Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?"
"Kerana mereka bukan orang baik," jawabnya pendek.
"Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?"
"Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w."
"Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?"
"Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?"
Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.
Jodoh Urusan Allah
"Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat."
"Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?" tanya saya inginkan penjelasan muktamad.
"Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan 'orang baik' lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!"
Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!
"Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah."
"Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?"
"Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi."
"Hikmah untuk kita?"
"Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya  pasangan kita bermasalah... bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah."
Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak "abang bayangan" saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?
Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: "Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. JAdi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!"
- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. Blog beliau adalah www.genta-rasa.com.

Ahad, 6 Februari 2011

bila cinta sudah luntur kasih telah berakhir

Bercinta sudah lama, hidup bersama sudah berpuluh tahun. Segala baik buruk diri dan pasangan sudah lama terbongkar dan diketahui. Akhir-akhir ini jiwa terasa kosong, tercari-cari sesuatu untuk mengisinya.Wajah isteri sudah mula jemu di pandang. Asyik wajah itu juga yang dilihat siang malam, pagi dan petang.
Tanpa sedar anda mula bersikap kritikal terhadap isteri, hypersensitive terhadap apa saja yang dilakukannya. Bukan secara positif, tetapi sentiasa terlihat kesalahan dan kekurangannya. Apa saja yang dibuat oleh isteri, sekalipun makanan kegemaran anda selama berpuluh tahun ini, tetap ada yang tidak kena.
Anda mula mencari alasan dan bahan untuk bertekak dengan isteri. Bukan sengaja, tapi entah kenapa , anda sendiri tidak mengerti terhadap perubahan diri. Bahkan anda tidak sedar pun anda dah berubah. Malah bila isteri bertanya mengapa anda berubah sikap, anda dengan tegas menuduh isteri anda yang sudah mula kurang prihatin pada anda, sudah tidak memahami anda, dan sudah kurang layanan terhadap anda.
Malangnya, anda tidak pernah ambil kesempatan duduk seketika dan muhasabah diri dan perkahwinan anda. Di mana silapnya? Aku yang berubah atau dia yang berubah?. Kalau benar ada perubahan, mengapa ia berlaku?.
Apakah anda begitu?. Apakah semua perkahwinan akan berakhir begitu?. Seiring dengan berakhirnya rasa kasih dan sayang?. Apakah perasaan kasih dan sayang tidak boleh kekal hingga ke liang lahad bahkan hingga ke akhirat kelak?. Apakah mesti ia pudar seiring dengan peningkatan usia perkahwinan anda?.
Mengapa ada orang lain boleh kekalkan kasih sayang terhadap pasangan sekalipun tubuh pasangan sudah hancur dimamah bumi?. Mengapa ada pasangan lain yang semakin membongkok semakin kukuh cinta dan kasih sayang mereka?. Mengapa tidak anda?.
Masa bukan satu-satunya faktor yang menyumbang kepada pengurangan perasaan terhadap pasangan dalam perkahwinan. Dalam ertikata lain, tidak tepat jika kita katakan semakin lama usia perkahwinan anda semakin kurang perasaan kasih sayang antara anda dan pasangan. Terdapat beberapa faktor lain yang menjadi penyumbang kepada keadaan ini.
Pertama, pendedahan sikap sebenar. Perkahwinan menyediakan gelanggang terbaik untuk anda mengenali siapa pasangan anda, zahiriah dan batiniah bahkan mengenali diri anda sendiri. Perkahwinan bukan sekadar satu peristiwa. Perkahwinan adalah satu proses yang berterusan yang memberi kesan menyeluruh kepada individu, samada dari segi fizikal , kognitif dan emosi.
Ini bermakna, sehari anda melalui proses perkahwinan, anda memberi ruang dan peluang untuk mendedahkan kepada pasangan siapa dan apa karakter sebenar anda , demikian juga anda semakin mengenali siapa sebenarnya pasangan anda. Anda dan pasangan, selain bagaikan pakaian yang saling menutupi antara satu sama lain juga bertindak sebagai cermin . Melalui interaksi anda dengan pasangan , anda akan mengenali diri anda dan juga pasangan.
Demikian juga sebaliknya. Ini bermakna juga, semakin lama anda dan pasangan hidup bersama, semakin besar peluang untuk pendedahan sikap dan perangai sebenar anda dan pasangan berlaku.
Namun begitu, faktor ini tidak berdiri dengan sendirinya. Penerimaan dan reaksi sering mencetus kekecohan. Sudah tentu anda membawa bersama segala perangai anda ke alam perkahwinan. Anda juga menerima segala apa yang baik dan buruk yang ada pada pasangan. Akad perkahwinan secara sedar atau tidak membuktikan anda (sebagai suami) sanggup menerima apa saja yang ada pada pasangan dan pihak yang satu lagi (isteri) sanggup menerima dan memberi apa yang ada pada diri.
Malangnya kita sering tidak tahu apa yang kita lakukan sebenarnya. Ramai pasangan yang menerima akad nikah tanpa mengetahui apa yang diterimanya dan apa sebenarnya yang disanggupi untuk diletakkan di atas pundaknya. Yang positif biasanya mudah diterima. Namun tidak semestinya begitu dalam alam perkahwinan. Yang baik pada anda belum tentu baik pada pasangan anda, apatah lagi yang tidak baik. Sungguh aneh dunia perkahwinan ini. Yang dulunya satu campur satu jawapannya dua tidak begitu perkiraaannya dalam dunia perkahwinan. Formulanya sudah berubah.
Kedua, penambahan komitmen. Perkahwinan adalah komitmen. Komitmen adalah tanggungjawab. Perkahwinan sarat dengan tanggungjawab samada pada suami atau isteri. Kedua-duanya sama berat dalam bentuknya yang tersendiri. Komitmen bertambah sebaik kehadiran cahayamata. Namun begitu, sekali lagi, faktor ini tidak bertindak sendiri terhadap pengurangan kasih sayang anda dan pasangan. Reaksi anda memainkan peranan. Bagaimana anda menangani dan mendepani segala komitmen ini.
Ramai pasangan yang mula teralih fokus apabila komitmen semakin bertambah. Para isteri terutamanya, apabila mula mendapat cahayamata, seorang demi seorang, mula terlupa pada si suami yang juga perlukan perhatian. Bahkan lupa pada diri sendiri yang juga memerlukan belaian suami. Juga lupa pada tanggungjawab pada perkahwinan yang perlu digilap selalu. Bukan sengaja tapi terlalai. Malangnya kedua-dua pasangan terus hanyut dalam kelalaian ini hinggalah perasaan-perasaan aneh yang menjarakkan hubungan mula timbul dan mencetuskan konflik dan tekanan yang semakin merenggangkan.
Kadangkala menyelesaikan masalah rumahtangga sama seperti menyembuhkan penyakit barah. Selagimana penyakit belum sampai ke tahap kritikal, peluang untuk sembuh masih tinggi. Masalahnya penyakit barah ini seringkali tidak disedari hingga ke tahap ianya sudah benar-benar parah dan sukar diubati. Melainkan jika seseorang itu benar-benar mengambil berat terhadap kesihatannya dan menjalankan langkah pencegahan awal. Bagitu juga dengan masalah rumahtangga dan hubungan suami isteri.
Penyakitnya menular dalam diam-diam. Hingga tiba masa ia mencetuskan perkelahian dan pertelingkahan, kerosakan di dalam perhubungan hingga ke tahap kritikal. Dalam erti kata lain, pada saat bantuan tiba, perkahwinan tersebut sudah di ambang kematian. Hanya perlu buat persediaan untuk dikafankan dan dikuburkan sahaja.
Persoalannya kini, bagaimanakah cara yang terbaik untuk mengekalkan perkahwinan?. Cara terbaik ialah dengan pendekatan ‘cegah sebelum parah’. Dalam ertikata yang lain, anda hendaklah sentiasa berusaha keras memastikan hubungan anda dan pasangan sentiasa dalam keadaan sihat. Sebarang masalah kecil ataupun besar perlu diberi perhatian dan ditangani dengan segera. Bukan dipandang ringan dan dibiarkan tanpa dirawat.
Dalam hal memelihara hubungan suami isteri dan menyelesaikan konflik Allah telah memberikan banyak panduan dalam al-Quran. Panduan ini terungkap dalam surah An-Nisa ayat 19 di mana Allah Taala berfirman yang bermaksud:
Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.
Ayat di atas jelas memerintahkan agar kita sentiasa bergaul dan melayani pasangan kita dengan cara yang baik. Bentuk dan cara yang baik ini juga banyak di sebut dalam al-Quran samada bagi suami atau isteri. Namun begitu Allah mengingatkan kita , bahawa dalam pada kita menjalankan tanggungjawab dan berbuat baik terhadap pasangan juga, kita tidak sunyi dari perselisihan faham atau konflik yang datang dari perasaan kita terhadap sikap atau perbuatan pasangan.
Namun panduannya disini , kita dilarang dari membuat pertimbangan dan tindakan yang terburu-buru ekoran dari apa yang kita rasakan tadi. Larangan Allah Taala ini diikuti dengan dorongan agar kita mengimbau dan mengambil kira juga segala kebaikan yang ada disebalik perkara yang menimbulkan kebencian kita tadi. Allah mahu kita merenung, menilai secara adil dan seterusnya mengambil kira segala apa yang telah kita terima dan dilakukan oleh pasangan terhadap pasangan secara total.
Demikianlah Islam menyarankan bagaimana cara menangani perasaan-perasaan yang kurang enak yang timbul antara suami isteri. Sekaligus mengakui bahawa wujudnya pasang surut perasaan dalam perkahwinan. Namun begitu, sebagai manusia yang dikurniakan akal, seharusnya kita yang mengawal perasaan tersebut dan bukanlah perasaan yang mengawal kita dan seterusnya perkahwinan kita.